Unique Frenz

Sunday, October 17, 2010

WASIAT...utk rujukan & panduan

Seringkali kita mendengar bhw sesetengah dr kita tidak memahami erti WASIAT, dimana wasiat telah dilakukan sesuka hati dan diberikan kepada selain dr warisnya melebihi kadar yg ditetapkan...

Oleh itu..diharapkan melalui artikle ini..sedikit sebanyak dapat memberikan informasi yg berguna kepada pembaca diluar sana mengenai...APAKAH ITU WASIAT...BAGAIMANA WASIAT DILAKUKAN...SIAPAKAH YG BERHAK...BERAPAKAH KADAR YG DITETAPKAN...dll...

petikan dari khutbah Jumaat-24/8/2007


Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita sama-sama bertakwa kepada allah s.w.t, dengan melaksanakan segala perintah dan suruhannya serta meninggalkan segala maksiat dan larangannya. Mudah-mudahan kita tergolong dari kalangan orang-orang yang beroleh limpahan dan rahmat allah s.w.t dan berjaya dalam kehidupan didunia dan juga diakhirat.


Sidang jumaat yang dikasihi sekalian,

Islam amat mengambil berat tentang persoalan harta dalam kehidupan manusia. Harta dianggap sebagai suatu amanah yang mesti diuruskan dengan baik dan sempurna berdasarkan peraturan dan hukum Allah s.w.t.

Perlu diingat, bahawa ada seorang pun dari kalangan kita apabila meninggalkan alam dunia yang fana ini menuju ke alam barzak, akan membawa bersama seluruh harta yang mereka himpun semasa hidup didunia. Segala harta yang menjadi milik dan kebanggaan dirinya, akhirnya ditinggalkan untuk dibahagi-bahagikan kepada ahli warisnya.


Sidang jumaat yang berbahagia,

Pengurusan harta sebagai bekalan kehidupan di akhirat mesti diurus dan dirancang semasa hidupnya lagi. Sebagaimana yang pernah berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w, Baginda telah mengarahkan sahabat yang ingin pergi berperang agar mewasiatkan hartanya kepada orang lain. Ia bertujuan agar segala harta dan tanggungjawab yang akan ditinggalkan, sekiranya dia syahid di medan peperangan, dapat diurus dengan baik dan sempurna.

Sesungguhnya Islam telah menyusun, mengatur sistem dan kaedah terbaik bagi umatnya mengurus harta pusaka. Antaranya adalah melalui kaedah wakaf, sedekah, hibah, faraid dan wasiat.


Sidang jumaat yang berbahagia,

Wasiat menurut bahasa bermaksud sambung atau pesanan. Dari segi syarak pula bermaksud ikrar seseorang yang dibuat semasa hidupnya keatas hartanya atau manafaat untuk menyempurnakan sesuatu bagi maksud kebajikan atau apa-apa yang dibenarkan oleh syarak dan terlaksana selepas kematiannya, dengan niat mendapatkan keredhaan Allah s.w.t.

Membuat berwasiat pada asalnya adalah wajib berdasarkan kepada firman allah s.w.t:

"Kamu diwajibkan apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, hendaklah ia membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik menurut peraturan agama, sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertakwa".
(Al-Baqarah ayat 180)

Menurut kebanyakan ulamak, hukum wajib berwasiat dalam ayat tersebut telah dimansuhkan apabila turunnya ayat yang menjelaskan tentang pembahagian harta pusaka kepada warisnya. Melalui hadis Rasulullah s.a.w baginda berdasarkan:

"Allah telah memberikan bahagian setiap orang yang berhak,maka tiada wasiat untuk warisnya".
(Riwayat At-Tarmizi)

Namun baginda menggalakkan umatnya supaya membuat wasiat melalui sabdanya:

"Tidak patut bagi seseorang muslim yang ingin berwasiat tidur selama dua malam, selagi ia tidak menulis wasiatnya disisinya".
(Muttafaqun Alaihi)


Sidang jumaat yang berbahagia,

Wasiat hanya boleh dilaksanakan kepada selain daripada mereka yang layak mendapatkan bahagian harta mengikut hukum faraid. Wasiat dan hutang si mati hendaklah dijelaskan dahulu sebelum harta si mati dibahagikan mengikut faraid. Itu pun jika warisnya mengetahui perkara tersebut daripada si mati sebelum ia meninggal dunia. Ini dijelaskan didalam firman allah s.w.t:

"Dan bagi kamu seperdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak,tetapi jika mereka ada mempunyai anak maka kamu beroleh seperempat dari harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan sesudah dibayarkan hutangnya".
(An-Nisa' ayat 12)

Menurut ulamak feqah, wasiat hanya boleh dilaksanakan tidak lebih 1/3 daripada harta si mati. Manakala hutang pula hendaklah dilunaskan sepenuhnya oleh warisnya jika harta peninggalan si mati tidak mencukupi.


Sidang jumaat yang berbahagia,

Sesungguhnya amalan berwasiat terhadap harta mempunyai banyak faedah dan kebaikan jika dilakukan oleh umat Islam semasa hidupnya. Antara faedah tersebut ialah:-

Pertama - Dapat menjamin pembayaran hutang, pelaksanaan tanggungjawab dan amanah.

Perlu diingat, bahawa sebahagian manusia apabila tiba ajal kematiannya, ia membawa bersama hutang-hutangnya bertemu Allah s.w.t. Hutang-hutang tersebut antaranya ialah kewajipan zakat, kewajipan fidiah kerana meninggalkan berpuasa, kewajipan haji, kaffarah puasa dan hutang sesama manusia.

Persoalannya sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian, siapakah yang akan memastikan hutang-hutang tersebut dilunaskan apabila kita mati kelak sekiranya kita tidak pernah memberitahu atau berwasiat kepada orang lain untuk melaksanakannya?. Ingatlah, rasulullah s.a.w pernah bersabda:

"Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung (yakni dihalang daripada tempat yang mulia) dengan sebab hutangnya, sehinggalah hutang itu dilunaskan (dibayar)".

Kedua- Mengelakkan berlakunya perbuatan harta dan pergaduhan dikalangan ahli warisnya.

Orang yang berharta, kadangkala meninggalkan harta dalam bentuk aset yang pelbagai seperti tanah, bangunan, kenderaan, barang-barang, wang tunai, wang simpanan, saham, pelaburan dan sebagainya. Melalui kaedah wasiat aset yang banyak ini boleh diwasiatkan untuk kebajikan dan yang selebihnya pula akan diurus mengikut hukum faraid. Ini dapat menjamin harta yang ditinggalkan akan berkekalan pahalanya mengalir kepadanya apabila ia mati kelak. Hal ini dikuatkan lagi oleh rasulullah s.a.w dengan sabda:

"Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya".
(Riwayat Al-Bahari Wamuslim)


Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita menginsafi bersama, betapa pentingnya untuk kita menguruskan harta kita semasa hidup didunia ini. Janganlah kita menyangka, apabila kita mati kelak, pandai-pandailah ahli waris kita menguruskan pembahagian harta yang ditinggalkan. Jangan kita sangka, apabila kita mati kelak, semua tanggungjawab kita kepada harta yang ditinggalkan akan terlepas dari kewajipan kita, sedangkan hakikat sebenarnya, terlalu banyak kaitan dan kewajipan yang masih tertanggung di atas bahu kita, sedangkan hakikatnya kita telah berada di satu alam lain yang sangat berharap kepada bantuan khususnya melalui pahala wasiat dan sedekah harta yang pernah kita miliki.


Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Demi menyahut seruan berwasiat ini, Majlis Agama Islam Selangor telah melancarkan perkhidmatan "Pengurusan wasiat orang Islam" bagi membantu dan memudahkan umat Islam dinegeri Selangor untuk berwasiat terhadap hartanya.

Oleh itu, marilah sama-sama kita manfaatkan perkhidmatan ini, supaya kita bertemu dengan Allah s.w.t dalam keadaan selesai segala hutang-piutang kita dengannya dan dengan manusia. Kita bertemu Allah dalam keadaan ahli keluarga kita tenang dan sejahtera menerima harta pusaka yang kita tinggalkan tanpa berlaku penipuan, penindasan dan perbuatan.

"Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan disisi allah jualah pahala yang besar".
(At Taghaabun ayat 15)

Ya Allah, engkaulah Tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadrat mu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha ke arah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri Selangor, sebagai negeri yang maju dan sejahtera. Justeru kami pohon kehadratmu Ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanafaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besra,kemarau panjang, wabak penyakit, persengketaan, kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.

Sumber: http://www.jais.gov.my/

No comments:

citer seangkatan dengannya

Blog Widget by LinkWithin